Setiap pagi, Haslinda Hashim, 35, ke pejabat dengan perasaan kurang bertenaga. Matanya selalu bengkak dan wajahnya pucat. Lebih parah lagi, Haslinda tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada kerja kerana selalu menguap dalam lima hingga 10 minit.
Ketika ditanya mengapa dia begitu letih, Haslinda memberitahu bahawa dia terpaksa bangun setiap malam untuk menyusukan bayinya. Namun, setelah menjawab dengan alasan yang sama hampir setiap hari, Haslinda akhirnya tidak lagi dapat menyembunyikan rahsia sebenar.
“Suami saya mempunyai masalah dengkur yang serius. Dengkurannya sangat kuat sehingga mengganggu tidur saya. Ada kali apabila berdengkur, badannya bergoyang sendiri. Sebenarnya, suami saya berdengkur sepanjang malam dan hanya berhenti apabila terjaga dari tidur,” keluhnya kepada penulis.
Haslinda telah mencuba memberitahu suaminya tentang masalahnya dan turut merekam suara ketika suaminya berdengkur, namun tidak digubal. Malah, bunyi dengkuran suaminya menjadi semakin kuat apabila dia terlalu penat atau tertidur selepas bekerja.
Pakar Kecantikan Estetik Klinik Premier, Dr Jaswine Chew, memberitahu bahawa dengkuran bukan hanya mendatangkan masalah kepada pesakit, tetapi juga individu yang berada di sekeliling mereka terutamanya pasangan.
Dengkuran adalah bunyi pernafasan yang kuat dan bising ketika tidur. Jika seseorang itu berdengkur, ia menandakan saluran pernafasannya terhalang seketika. Ini disebabkan halangan dalam saluran pernafasan. Getaran tisu pada bahagian kerongkong menyebabkan bunyi dengkuran itu muncul.
Kira-kira 50 peratus individu berdengkur dan ia dianggap perkara biasa. Namun, jika berdengkur mengganggu tidur orang lain dan menyebabkan kualiti tidur terganggu, itu menandakan individu berkenaan memerlukan rawatan untuk mengatasi atau sekurang-kurangnya mengurangkan dengkurannya.
“Ramai tidak tahu bahawa berdengkur mengakibatkan seseorang tidak mendapat kualiti tidur yang diinginkan. Ketika berdengkur, badan sebenarnya tidak dapat berehat sepenuhnya. Akibatnya, mereka mudah mengantuk pada siang hari, kerap mengantuk, kelihatan tidak segar dan tidak dapat tumpu pada kerja,” katanya.
Menurut Dr Jaswine, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan seseorang itu berdengkur. Selain masalah sinus, perbezaan anatomi struktur mulut menjadi punca kepada tahap dengkuran seseorang.
Berdengkur juga kerap dialami mereka yang minum alkohol, alahan pada cuaca sejuk dan mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.
Sumber artikel daripada Harian Metro.